Jumat, 23 Desember 2011

PENGHUNI NERAKA JAHANAM

RASULULLAH SAW terlalu sayangkan umatnya. Hal ini ternyata apabila Baginda diberitahu oleh Jibril bahawa ada umatnya yang akan masuk ke neraka pada hari akhirat nanti.


Baginda risau dan sedih serta pengsan apabila diberitahu Jibrail bahawa ada umatnya yang berdosa dan tidak sempat bertaubat atas perbuatannya, bakal menjadi penghuni neraka.


Begitu cintanya Rasulullah kepada umatnya.


Diriwayatkan daripada Yazid Arraqqasyi daripada Anas bin Malik berkata, malaikat Jibril datang kepada Rasulullah dengan air muka yang berubah.


Kemudian Rasulullah bertanya: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"


Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu kerana Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka. Maka, tidak layak bagi orang yang mengetahui neraka jahanam, seksa kubur dan seksa Allah itu benar untuk bersuka-suka sebelum dia berasa aman daripadanya".


Rasulullah kemudian bersabda: "Ya Jibril, jelaskan kepada aku bagaimana sifat neraka jahanam?"


Jawabnya: "Ketika Allah menjadikan Jahanam, ia dinyalakan selama 1,000 tahun sehingga warnanya bertukar putih. Kemudian dinyalakan lagi sehingga 1,000 tahun sehingga warnanya hitam dan ia tidak pernah padam.


“Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, jika ia terbuka walaupun hanya sebesar lubang jarum, seluruh penduduk dunia akan terbakar kerana kepanasannya!


"Jika baju ahli neraka digantung antara langit dengan bumi, manusia di dunia akan mati kerana panasnya dan jika satu pergelangan daripada rantai yang disebut dalam al-Quran itu diletakkan di atas bukit, ia akan cair sehingga ke bawah bumi yang ketujuh.


"Neraka jahanam sangat dalam dan perhiasannya daripada besi.


Minuman untuk penghuninya campuran air panas dan nanah manakala pakaian mereka diperbuat daripada potongan api. Api neraka mempunyai tujuh pintu.


“Setiap pintu itu pula mempunyai bahagian tertentu daripada lelaki dan perempuan."


Rasulullah bertanya: "Apakah pintu itu seperti pintu rumah kami?"


Jawab Jibril: "Tidak, tetapi ia selalu terbuka. Jarak setiap pintu bersamaan dengan tempoh selama 70,000 tahun dan setiap pintu itu panasnya lebih 70 kali ganda."


Rasulullah bertanya: "Siapakah yang duduk di setiap pintu itu?"


Jawab Jibril: "Pintu yang paling bawah untuk orang munafik dan orang kafir selepas turunnya mukjizat Nabi Isa serta keluarga Firaun bernama Al-Hawiyah.


"Pintu kedua untuk orang musyrikin bernama Jahim. Pintu ketiga untuk orang




Shobi'in bernama Saqar. Pintu keempat untuk iblis dan pengikutnya daripada kaum Majusi bernama Ladha.


"Pintu kelima untuk orang Yahudi bernama Huthomah dan pintu keenam untuk orang Nasara bernama Sa'eir."


Jibril kemudian terdiam hingga Rasulullah bertanya: "Mengapa kau tidak beritahu siapa yang akan menduduki pintu ketujuh?"


Jawabnya: "Dalamnya adalah umatmu yang berdosa besar dan mati sebelum sempat bertaubat".


Rasulullah pengsan apabila mendengar jawapan Jibril itu. Jibril kemudian meletakkan kepala Rasulullah pada pangkuannya hingga Baginda sedar dan bersabda:


"Ya Jibril, aku begitu risau dan sedih. Adakah akan ada seorang daripada umatku yang akan masuk neraka?"


Jawabnya: "Ya, iaitu orang yang berdosa besar daripada kalangan umatmu".


Rasulullah kemudian menangis, begitu juga dengan Jibril. Baginda kemudian masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk pergi bersembahyang.




Daripada hadis qudsi: "Tahukah kamu bagaimana neraka jahanam itu?"


Pertama, ia mempunyai tujuh tingkat di mana setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung dan setiap kampung pula mempunyai 70,000 rumah.


Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik manakala setiap bilik mempunyai 70,000 kotak. Bagi setiap kotak, ia mempunyai 70,000 batang pokok zarqum.


Di bawah setiap pokok zarqum, ada 70,000 ular dan dalam mulut setiap ular yang panjangnya 70 hasta itu mengandungi lautan racun hitam.


Di bawah setiap pokok zarqum itu juga, ia mempunyai 70,000 rantai dan setiap rantai itu diseret oleh 70,000 malaikat.


http://renunganbimo.blogspot.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar